Apa khabar? 🙂
Syawal 1443H pun sudah berlalu, kan? Kita semua kembali sibuk dengan rutin harian kita layaknya seperti sebelum ini. Bermulalah nanti ada detiknya kita merindui waktu-waktu kita berada dibulan Ramadan pada tahun ini. Kita merindui bagaimana kita memberadakan diri pada ramadan lepas. Bagaimana kita dalam perjuangan sendiri untuk menguruskan kehidupan dan jiwa, malahan! Kita bakal mengingati bagaimana kita bersimpuh depan Dia memohon keampunan berkali-kali dan mohon supaya Dia menyayangi kita dengan melorongkan kita pada jalan yang Dia mahu.
Kita ini manusia, kan. Kadang-kadang kita ego pada jiwa sendiri. Jiwa yang fitrahnya bersih dekat dengan Tuan Punya Dunia. Sedewasanya kita, kita nodai pula dengan nafsu dan keinginan sendiri. Itukah sebenarnya yang kita mahu sehingga akhir hayat kita? Satu persoalan buat diri ini sebenarnya.
Lama saya tidak kemaskini blog ini. Tiba-tiba jari-jemari rajin mahu menari malam ini. Tentang sesuatu yang bermain-main dalam minda apabila memikirkan kehidupan dan masa depan sendiri. Sesuatu yang dipersoalkan sendiri tetapi bingung memberikan jawapan yang sesungguhnya. Walhal, kita yang memberikan soalan bukankah seharusnya tahu benar jawapan kepada persoalan tersebut? Tidak. Tidak semua persoalan dapat dijawab. Lebih-lebih apabila melibatkan persoalan mengenai kehidupan dunia yang penuh ketidakpastian.
Pernah tak terfikir, setelah kita selesai menggapai cita-cita dan impian, apakah yang akan kita pegang dan perjuangkan seterusnya? Pernah tak kita terfikir, corak dan suasana hidup bagaimana nanti yang kita pilih apabila sudah puas mengejar kejayaan duniawi menurut kapasiti cita-cita kita? Dan itu boleh jadi seperti di suasana yang bagaimana nanti kita akan menghabiskan sisa hidup kita. Di kawasan bandar atau kawasan kampung yang tidak membangun seperti bandar-bandar metropolitan. Atau persoalan seperti, akankah kita terus mengejar puncak kejayaan dan kekayaan demi sebuah nama dimulut pengiktirafan manusia sehingga akhir hayat? Atau mungkin juga, semendalam bagaimanakah untuk kita belajar mengenai agama agar dapat dibuat bekalan bertemu Tuan Punya Dunia apabila tibanya waktu pulang ke ‘kampung halaman’ abadi nanti?
Kau tahu, kawan. Ada orang sejenis tidak mahu berfikir rumit seperti persoalan-persoalan di atas. Ada orang yang mahu jalani saja hidup dan berdepan dengan apa yang bakal terjadi selanjutnya tawakkal kepada Allah saja. Tapi, wujud juga manusia seperti saya sendiri yang memikirkan hal-hal demikian. Saya juga berada dibawah minda yang sedar apabila memikirkan banyak persoalan dalam hidup. Walaupun saya tahu, tidak semua persoalan itu akan ada jawapan yang cepat, atau jawapan yang ringkas. Malah, kadang-kadang memang tiada jawapan langsung. Begitulah, manusia. Penuh dengan persoalan demi persoalan. Yang dengan persoalan itu, kadang-kadang menguatkan. Tidak kurang juga adakalanya melemaskan. Dan begitulah, namanya kehidupan.
Tiada apa pun kemaskini malam ini. Hanya sekadar melakarkan persoalan. Dan mungkin boleh mengajak kalian untuk bersoal jawab juga. Apapun persoalan atau pemikiran yang hadir dalam minda kita, kita kena ingat; tapisi dengan iman. Terlalu bermain-main dengan persoalan diminda pun akan mengakibatkan kita boleh lupa berpijak di dunia yang nyata. Allah Ta’ala, sebagai Tuan Punya Dunia yang berkuasa atas segalanya. Kepada Dia kita kembalikan semuanya. Segala usaha, segala cita-cita, segala kelebihan, segala kelemahan, kejayaan mahupun kegagalan.
Semoga Allah sayangi kita dengan lebih.