Move On Lebih Baik

Sudah tengahari.

Kopi yang dibancuh pada jam mendekat pukul 11 tadi sudah sejuk. Tentu sajalah keenakan sudah berkurang sedikit. Saya mengomel kepada diri sendiri. Tetapi sayang pula kalau mahu dibuang begitu saja. Saya minum bagi habis.

Kita semua mesti pernah melalui satu keadaan yang membuat kita rasa alangkah bagus kalau keadaan seperti dulu masih ada sehingga sekarang. Atau alangkah seronoknya seperti dahulu menjadi sekian dan sekian kerana kita tidak lagi berada dalam keadaan yang sama, yang kita inginkan seperti yang kita sudah pernah lalui.

Perkara itu biasa. Kerana kita sudah merasakan hal-hal yang menyenangkan dan yang tidak. Dan terpenting sekali adalah kerana kita sudah berjaya lalui keadaan tersebut dengan jayanya. Kerana kita kita pernah alami keseronokan, dugaan dan setiap perasaan pada waktu itu. Oh ya, hakikat yang lebih penting juga adalah, kerana kita sudah TAHU dengan kesudahannya. Itu semua adalah perkara yang membuat kita terkenang-kenang. Lumrahlah seorang manusia menyimpan memori dalam otaknya, dan sesekali terkenang perkara-perkara yang sudah pernah dialami. Kan itu juga salah satu cara mensyukuri kehidupan?

Tetapi itu bukanlah alasan untuk seseorang tidak mahu maju dalam kehidupan. Kerana waktu sentiasa berjalan. Tidak akan menunggu kita yang sedang gembira dan bahagia, atau sedang bersedih dan berduka. Yang akan datang, perlu dilalui.

Seseorang itu tidak boleh terperangkap dengan masa lalunya. Tidak kiralah masa lalu itu penuh dengan keseronokan atau pun kesedihan. Kerana hal itu sudah menjadi memori yang akan terus diingati. Tapi untuk tidak mempunyai motivasi dalam hidup hanya kerana sesuatu yang pernah berlaku memberi kesan dalam hati, itu adalah hal yang salah kawan. Sangat tidak adil untuk diri sendiri.

Kita boleh buat apa? MOVE ON!

Apa-apa sahaja yang pernah kau lalui, pengalaman pahit atau manis. Peristiwa yang menggembirakan atau menyedihkan, kejadian yang membahagiakan atau memalukan. Kau perlu untuk teruskan kelangsungan emosi dan jiwa. Kau perlu bergerak dalam hidup. Dunia belum berakhir dan kau masih bernafas, masih hidup di dunia. Ada banyak peristiwa yang kau akan alami dimasa hadapan dan banyak hal yang kau perlu cipta untuk hidup kau sendiri.

Tiada orang lain yang dapat bahagiakan kau kalau kau sendiri yang tidak mahu bahagia. Tiada kenangan yang akan kau ingati kalau kau sendiri yang tidak mahu kenangan baru menjadi memori. Tiada yang dapat memaknakan kehidupanmu, kalau kau sendiri yang tidak mahu kehidupan kau menjadi bermakna.

Kau tahu, untuk bahagia itu tidak perlu untuk kau menjadi dikenali oleh orang ramai manusia. Untuk kau puas terhadap diri kau sendiri itu, cukuplah kau tahu diri dan tahu untuk bersyukur dalam banyak hal yang kau ada dan bukannya melihat terhadap hal-hal yang kau tiada. Hargai diri kau sendiri baru kau akan tahu bahawa diri kau adalah penting tanpa perlu mendapat pengiktirafan dari orang lain, bahkan kau tidak perlu pengiktirafan dunia ini sekali pun!

Tuhan tidak pernah tersilap dalam menciptakan kau ke bumi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *