Selalu Ada Kisah Yang Lain

Saya jadi kurang suka untuk skrol facebook sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi apabila ada sesuatu yang berlaku yang menjadikan satu Malaysia heboh. Sebab saya akan menelusuri komen demi komen tanpa sengaja, dan kadang-kadang sebab terlupa. Ada yang positif, ada yang negatif. Seiring, kata orang.

Sebatas pengetahuan kita terhadap suatu berita atau banyak perkara, kita sering memberikan komen tentang berita tersebut. Kita menilai pada apa yang kita tahu, dan kerap meninggalkan hukum di dalam minda kita bahawa sekian dan sekian berlaku kerana sekian dan sekian. Semudah itu untuk kita memberikan kesimpulan pada tindak-tanduk serta kehidupan orang lain.

Jarang sekali untuk kita berfikir apa sebab dan kisah disebalik sesebuah perkara. Samalah seperti apabila kita diuji Tuhan, jarang sekali untuk kita berfikir kenapa dan apa yang Tuhan mahu berikan kepada kita sesudah ujian yang kita sedang hadapi. Kita jarang mahu berfikir di luar kotak dan menyikapi perkara yang berlaku, mungkin kerana terdorong akan hal-hal yang berlaku dalam kehidupan seseorang tersebut. Kerana apa? Kerana memang sikap kitalah. Sikap kita yang hanya mahu menerima dan menghakimi sebatas yang kita tahu.

Continue reading “Selalu Ada Kisah Yang Lain”

Hujan Yang Menjadi Kawan

Hal yang saya belajar daripada seorang anak kecil apabila hujan turun membasahi bumi, anak itu terus meluruskan jari telunjuknya pada titisan air hujan yang jatuh. “Hujan itu, kawan kan? Kan?” Matanya memandang saya, menunggu untuk saya menjawab dan mengiyakan bicaranya. “Kawan, kan? Hujan…”

Saya kira ramai yang terkesan dengan hujan. Seperti mana tinggalan cinta yang tersisa dalam jiwa kita dan sehingga kini dikenang-kenang kerana tidak dapat dilupakan. Begitulah juga hujan yang selalu tepat setiap waktu hadir. Seolah-olah mahu berbicara kepada manusia, ‘aku tahu rasamu.. kerana itu aku hadir menenangkan gelojak jiwamu. nikmatilah aku..’ Selalu kehadiran hujan itu menyenangkan semua. Tinggal kita sahaja yang mahu mengutip hikmah pada titisan-titisan hujan yang jatuh ke bumi, atau kita mahu menyatakan bahawa kehadiran hujan itu menyusahkan banyak pihak. Kerana kita, adalah apa yang kita fikirkan dan tuturkan. Pemikiran kita adalah siapa diri kita.

Seperti saat ini, hujan sedang menari dan menyanyi-nyanyi di tengah malam. Membuai manusia seperti tahu bahawa hari esok adalah hari cuti.

Tentang Sebuah Perjalanan

Ringkasnya, ada dua perkara utama yang mahu saya tuliskan. Dua perkara yang karangannya boleh jadi panjang atau pendek. Ya, terpulang pada kerajinan.

Setiap dari kita ada kehidupan sendiri dan pastinya ada jalan cerita dalam hidup sendiri yang berbeza dari jalan cerita hidup orang lain. Malah hubungan adik beradik seibu sebapa itu tidak menjamin jalan hidup setiap darinya adalah sama. Kerana pengalaman, perasaan dan impian dalam diri seseorang itu juga berbeza. Hatta saudara kembar yang duduk bersama dalam kandungan ibu dan paling dekat itu pun, mempunyai cerita hidup tersendiri. Dan semestinya, tidak sama.

Kita tinggal dengan jutaan ramai manusia di bumi. Semuanya masing-masing ada kehidupan, ada cabaran dan dugaan, ada kisah kehidupan yang tersimpan kemas dan ada juga yang dipamerkan. Tanpa menafikan, ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang kehidupannya kita lihat diuji. Dan ada kehidupannya yang kita lihat selalu bahagia. Ada yang Tuhan jadikan sekilas pandang, mata manusia lain akan terpaut. Ada yang Tuhan jadikan, biasa-biasa sahaja sehingga manusia lain tidak merasa hairan. Ini hakikat kehidupan kita di bumi.

Dan sering kali, termasuk saya sendiri. Kita itu selalu mahu melihat kepada yang indah dan bahagia. Kita selalu tertegun kepada faktor-faktor tersebut. Dan membuatkan diri kita rasa kekurangan kerana kita berbeza dengan yang lain. Tapi kita selalu terlupa melihat kepada yang kekurangan dalam hidup. Dan yang lucunya, kerap sekali hal itu tidak membuatkan kita rasa bersyukur.

Continue reading “Tentang Sebuah Perjalanan”

Manusia Memeluk Takdir

Entah semangat apa yang datang pada tengah malam begini. Terasa benar banyak kata yang mahu diabadikan di sini pada waktu yang sama. Dua tin kopi wonda menjadi hirupan tadi pastinya sedang bekerja untuk menahan mata dari kantuk. Atau boleh jadi juga kerana bunyi salakan anjing yang entah apa-apa sahaja mencuri perhatiannya. Jadi biarlah saya berbicara sendiri di sini.

Saya membayangkan suatu pagi yang baru mulai tersenyum malu-malu kerana asyik bercanda dengan hujan semalaman. Tatkala kedinginan masih menyelimuti permukaan bumi, dan ada manusia masih malas membuka mata dengan penuh manja berselubung disebalik selimut pilihan. Tanah-tanah dan jalan raya yang masih basah kedinginan serta aroma hujan yang mempunyai istimewanya sendiri. Lebih enak apabila dalam bayangan saya itu, saya membancuh kopi segar sambil berbicara dengan kedinginan dan memberitahukan bahawa betapa berterima kasih saya kepadanya kerana akur dengan aturan Tuhan lalu memberi sekelumit kebahagiaan kepada manusia yang entah bersyukur entah tidak.

Continue reading “Manusia Memeluk Takdir”