Ramadan #1: Hipokritkah Kita?

1 Ramadan 1442H.
13 April 2021, Selasa.

Hari dan bulan yang sangat dinantikan. Setelah bulan puasa tahun lalu datang menyapa dimusim pandemik, akhirnya bertemu lagi pada tahun ini. Selama beberapa bulan semenjak bulan ramadan tahun lalu, entah berapa banyak amalan dan ibadah baik kita terkumpul. Entahkan juga berapa banyak pula keburukan dan dosa-dosa kecil serta besar kita yang menjadi amalan.

Apalah yang kita harapkan pada dunia? Pada semua nafsu dan keinginan serta perkara-perkara yang memenatkan kita. Bukankah ramadan ini seharusnya menghidupkan jiwa dalam kalangan kita yang sebahagiannya sudah terlu kering? Yang sebahagiannya pula hampir-hampir mati pada sebuah hakikat jiwa kita sudah terlalu lama berkelana dan bermain-main di taman permainan dunia ini?

Bukankah kita laksana kanak-kanak yang ada waktunya untuk kita pulang ke rumah? Pulang ke rumah membersihkan diri, makan dan tidur untuk merehatkan jasad dan minda. Demikian, ada waktunya dan apabila tiba masanya, kita itu jiwanya perlu kembali dan pulang ke ‘tempat’nya?

Hipokrit?

Bagi orang-orang yang berfikir, pasti bulan ini ibarat sebuah emas menggunung lalu kesempatan ini digunakan sebaik mungkin. Peduli dengan cara apapun; memperbaiki diri dengan keupayaan merangkak, baru belajar berjalan dan berlari. Allah ‘Azza Wa Jalla pastilah tidak kisah dengan cara apapun kita bermula atau sedang bertatih. Mungkin yang paling penting pada pandangan-Nya adalah bagaimana kita berusaha membawa jiwa dan jasad untuk datang kepada-Nya, sedang kita pula berlawan dengan pelbagai perasaan di dalam diri. Tidakkah kamu merasa begitu, kawan?

Tiada perbicaraan mengenai hipokrit jika pada hal kita ingin datang merai dan meminta kasih sayang daripada Tuan Punya Dunia. Sebaliknya perbuatan paling hipokrit itu adalah apabila kita merasa bahawa jiwa kita sudah penat dengan segala kelalaian dunia yang kita lakukan, namun kita menidakkan dengan terus menerus memilih kelalaian dan bukannya ketaatan!

Semoga Allah merahmati.

Suhana Amiril
Sandakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.