Skip to content

Author: Suhana Amiril

NOTA #11: Peluang Yang Dibuang

Kerap sekali apabila sudah tiada didepan mata dan lingkungan kehidupan kita, barulah kita akan mengharapkan masa bisa diputar kembali dan mahu berpeluang untuk lebih menghargai. Biasa kedengaran, kan. Memang cukup tipikal.

Berapa banyak kali dalam hayat sehingga saat ini, kita membuang-buang peluang yang diberikan kepada kita. You name it, peluang apa. Dan ingat-ingat kembali sesal-sesal kecil kita lalu membawa kepada suatu kesedihan. Mengambil contoh bulan ramadan ini yang datangnya setahun sekali dalam tempoh masa sebulan lamanya. Apabila nanti sudah berada dihujung ramadan, berapa ramai dalam kalangan kita yang sesal sendiri kerana tidak menggunakan waktu yang ada dibulan ini untuk melakukan lebih banyak hal-hal kebaikan dan ibadah.

Kalau dengan manusia juga begitu. Kita kurang menghargai apabila seseorang itu masih ada disitu. Namun apabila dia sudah tiada didepan mata dan kehidupan kita, barulah kita akan terindu-rindu mengenangkan segala kebaikan, senyumannya, gurauannya, nasihatnya serta gelak tawanya. Hanya apabila sudah terlambat.

Kadang-kadang kita perlu sedar bahawa, tidak semua peluang itu akan datang kali kedua. Ada peluang yang hanya datang sekali seumur hidup. Yang mana kalau kita terlepas peluang tersebut, kita tidak akan berjumpa peluang yang sama seperti itu lagi. Seperti kehidupan kita di dunia ini. Bila kita penuhi dengan hal-hal yang memberatkan perjalanan di akhirat kita, kita tidak akan pernah patah balik semula untuk mengutip satu demi satu bekalan di dunia. Hatta kita menangis darah.

Nah, bagaimana kita perlakukan peluang ramadan setakat ini?

NOTA #10: Kita Tidak Sendiri

Begini hal yang sering diulang-ulangi, bahawa kita tidak pernah sendiri. Meski beratus juta kali dalam hidup kita tetap merasakan hal yang sama setiap kali. Setiap kali? Ya, setiap kali bila apa yang berlaku tidak sesuai dengan kehendak jiwa kita. Setiap kali kehidupan kita tercabar dengan hal-hal sunnatullah di dunia. Setiap kali apabila kita merasakan kegagalan dan kesempitan. Setiap kali apabila ditinggalkan atau dilukai oleh manusia sekeliling. Kita tetap merasa sendiri.

Dan, sebanyak mana pun kita dengar dan dengar bahawa bila berada dalam situasi apapun kita tidak pernah sendirian. Sedegil itu juga, malah lebih lagi, kita tetap mahu merasa sendirian dalam situasi-situasi tersebut.

Entahkan apa sebabnya. Pernahkah kita tertanya?

Saya juga manusia. Yang ada waktunya merasai saat-saat itu walaupun saya tahu bahawa bersama saya, ada Dia yang tidak pernah meninggalkan saya. Ya, manusia yang banyak keluh kesah kita ini. Satu hal yang perlu kita sedar, merasa sendirian itu sebenarnya hanyalah mainan fikiran kita saja. Oleh kerana kita terlalu asyik dengan permainan perasaan. Entah apa yang mencemarkan hati kita sehingga, tidak boleh tercuit sedikit kehidupan kita, kita lantas mengatakan bahawa kita sendirian. Tidak punya siapa-siapa. Tidak dipedulikan oleh siapa-siapa.

kita melihat ahli keluarga dan sahabat yang dengan penglihatan jauh sekali. Kata kita, bahkan mereka yang dekat dalam hidup kita pun tidak mempedulikan diri kita. Kita kata, kita terasa asing pada mereka. Tiada rasa kebersamaan didalam kehidupan antara kita dan mereka. Kita kata mereka meninggalkan kita, malahan!

Tapi benar-benar tahukah kita? Pasti ada saja yang nampak tidak mempedulikan kita, interaksi yang selalu sesama kita juga tidak, tetapi ada yang selalu memerhati tentang kita. Mereka manusia yang doa-doa mereka ada mengiringi kehidupan kita. Ada yang dari kejauhan tidak pernah bertanyakan tentang apa-apa yang kita hadapi dalam kehidupan, tapi dia tahu tanpa harus bertanya. Ada yang kelihatan tidak teruja serta diam dengan mimpi-mimpi kita apabila kita bercerita atau menulis tentangnya, tetapi secara diam-diam dia pula menjadi penyokong terbesar kita. Dan banyak lagi hal-hal yang lainnya.

Hanya saja, kita tidak pernah tahu.

Toleh kembali kehidupan kita, dan bertanyakan kepada diri.. Apa benar-benar selama ini kita sendiri? Apa benar tiada manusia yang baik dalam kehidupan kita yang cukup ambil berat terhadap kita dengan cara mereka sendiri? Atau, apakah kerana jiwa kita tidak mendapatkan perhatian yang kita mahukan, maka kita menghukum orang-orang yang ada dalam hidup kita tidak pernah ada untuk kita?

Bagaimana pula kita terhadap orang yang menyayangi kita? Fikirkan.

NOTA #9: Tidak Sama Ukuran Manusia

Kamu tahu, pada akhirnya nanti apapun cara pandang kita dan pendapat kita semua di dunia ini, pastilah tidak sama. Dan mahu tahu seperkara lagi? Apapun pencapaian kita di dunia, ia akan berlalu begitu saja seiring waktu yang tetap meninggalkan manusia. Kerana cita kita lain, fokus kita lain, dambaan kita lain.

Okey, now it make sense. Yes?

NOTA #8: Apa Khabar Sabar?

Aku itu jujurnya, sangat cemburu kepada orang yang sabar dan suka berlemah lembut. Sehingga kini, aku suka untuk berbicara soal sabar. Kerana pada sabar, ada ketenangan. Walau tidak kurang juga yang melihat sabar sebagai satu kelemahan, tapi aku sentiasa percaya bahawa sabar yang kerana Allah, pasti nanti akan diiringkan oleh-Nya dengan banyak hikmah dan pelajaran hidup.

Petang ini mari kita bicara soal sabar, ya.

Apa khabar puasa kalian? Semalam adalah hari yang menandakan sudah seminggu kita berada didalam bulan puasa. Bagaimana sabar kita menahan dahaga? Bagaimana sabar kita menahan amarah? Bagaimana sabar kita memperbanyakkan ibadah? Bagaimana sabar kita menghabiskan tarawih? All is well, ya?

Setuju tidak jika aku katakan bahawa sabar itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk? Sabar dengan hati, sabar dengan mulut, sabar dengan mata dan anggota yang ada pada badan kita. Juga melalui perbuatan kita. Bukan perkara mudah menghadirkan sifat sabar dalam diri. Bukan juga perkara mudah untuk mengekalkan sabar dalam tindak-tanduk kehidupan. Mungkin juga kerana itu, pada pandangan Allah, sangat istimewanya orang-orang yang sabar itu. Dan Allah tidak pernah mengecewakan orang-orang yang bersabar kerana-Nya.

Jika ditanyakan kepada aku yang banyak lompong ini, yang pastinya bukan seorang yang sangat-sangat penyabar, “Bagaimana untuk menjadi sabar?” Pastilah aku akan jawab, “ya sabar saja. Buat apa mahu memeningkan kepala dan membuat diri sendiri stress? Biarkan saja orang-orang itu, atau hal dan perkara tersebut. Sudahlah, jangan difikir!” Sesuai juga jawapan ini kan. Tapi bagi orang-orang yang sabarnya kerana Allah dan yakin Allah ada dalam setiap langkahnya, jawapannya tidaklah seremeh jawapan saya tadi itu.

“Sabarlah kerana Allah. Apapun yang kita buat, apapun yang kita hadapi.. Bersabarlah dengan mengingat Allah. Sabar kita bukan kerana kita lemah. Tapi kerana itu adalah satu tanda pergantungan kita kepada Allah untuk tidak turut serta menjadi zalim. Tapi pastikan juga, biar sabar dengan bijaksana.”

Kadang-kadang aku terfikir, selama manalah kita tidak boleh bersabar dengan kehidupan di dunia. Padahalnya kita tahu bahawa kita ini tidak selamanya di dunia, nanti bakal kembali ke tempat yang tiada dusta, tiada kebimbangan, tiada hasad dan segala yang negatif seperti di dunia. Dan selama mana pula kita boleh bersabar dengan segalanya, kan. Persoalan ini pun sudah menandakan bahawa kita ini hanyalah manusia yang tiada apa-apa sebenarnya.

You know what? Bersabarlah dengan kesabaranmu, yang kerana Allah. Bukan kerana manusia, bukan kerana pujian dan sanjungan. Tetapi kerana pergantunganmu kepada Tuhanmu kerana percaya setiap apa-apa sahaja yang ada di dunia ini, semuanya dalam pandangan dan pengetahuan Allah SWT.

..apa khabar sabarmu?