Untuk Jiwaku Yang Sedang Marah

Kau sudah tahu benar apa erti perasaan marah. Entah marah pada diri sendiri, marah pada keadaan, atau marah kepada seseorang. Marah yang kau tahu benar, adalah marah yang diiringi dengan perasaan kesedihan, yang mahu kau hamburkan semahunya. Yang selalunya akan berakhir dengan tangisanmu dikala sendiri. Sehingga kau berdamai dengan ‘menangislah jika itu melegakan jiwa kau’.

Hidup memang tidak mudah, bukan?

Dan akhirnya, selepas tangisan itu reda dengan jiwa yang suram kau mencapai pen dan kertas. Seterusnya menulis di alam maya seperti ini. Adakah tujuanmu untuk memberitahukan kepada khalayak? Tidak. Ini terapi bagi diri kau. Setiap orang melalui liku kehidupan yang berbeza.

Setiap hari. Setiap masa.

Apa pelajaran yang boleh kau ambil dari perasaan marah yang mencengkam jiwa kau sehingga akhirnya cair menjadi tangisan? Adakah semua itu tidak diketahui oleh Allah? Adakah semua yang sedang berlaku dalam hidup kau, perasaan kau, niat dan usaha kau tidak mendapat perhatian dari Allah Ta’ala?

Tidak, wahai diri. Allah tahu terperinci setiap kejadian dalam hidupmu.

Koreksi Diri Sendiri

Kau tahu, kau boleh saja salahkan orang lain kerana perasaan yang kau rasa sekarang. Mungkin suatu kejadian itu timbul kerana memang ulah orang lain, dan kau mendapat kesannya sehingga mengganggu ketenteraman jiwa kau. Mungkin juga kejadian yang berlaku, ada hubungkaitnya dengan diri.

Apapun hakikatnya, tanggungjawab kau sekarang yang paling utama adalah bagaimana kau sendiri mengendalikan jiwamu dan amarahmu. Kerana tiada orang lain yang akan dapat mengubati perasaan itu yang tidak kelihatan dimata. Kau boleh khabarkan kepada satu dunia apa yang membuatmu marah dan membuatmu menangis. Tapi persoalannya, akan legakah jiwamu yang marah itu?

Jika kau marahkan diri sendiri, apakah kau merasa lega?
Jika kau marahkan situasi, apakah situasi akan terus berubah?
Jika kau marahkan seseorang, adakah selepas itu semua akan selesai?

Memang tidak akan mudah. Kau pun tahu akan hal itu. Tambahan, bukan pertama kali rasa amarah yang sebegini kau alami. Kau seharusnya sudah mahir dalam ketidakpedulian terhadap semua faktornya, dan lebih fokus kepada diri kau sendiri. Perbaiki diri kau.

Semoga Allah tidak membiarkan kau kepada diri kau sendiri.

5 April 2021.
23.57.