Kenapa Aku Tidak Bersyukur?

Dunia yang semakin memuja kemajuan, pangkat dan kedudukan membuatkan ramai dalam kalangan manusia menjadi orang-orang yang lupa untuk melihat perkara-perkara kecil dalam kehidupan yang perlu disyukuri. Dunia sedang bergerak maju, laju dan pantas. Jika kita melihat sekilas perjalanan dunia, semua orang sedang berlumba-lumba untuk menjadi orang yang berjaya; ada jawatan dan duit yang banyak. Seolah-olah, memperolehi segalanya di dunia ini akan mendorong seseorang untuk menjadi yang ‘berjaya dan bersyukur’. Adakah keberjayaan kita dalam hidup akan membuatkan kita bersyukur?

Cuba fikirkan sejenak.

Pernah tak kita mengalami situasi ini di suatu hari dalam kehidupan kita; kita bangun subuh, membawa jasad yang berat membersihkan diri, melaksanakan hak Allah, dan di tikar sejadah atau mungkin sesudah itu, kita terfikirkan sesuatu. Apa dia? “Apakah aku sudah banyak bersyukur dalam hidup ini? Adakah diri aku layak digelar sebagai sebahagian dari golongan ‘orang yang bersyukur’?” Sejujurnya, saya pernah. Diri sendiri yang menanyakan soalan itu kepada diri sendiri, tapi saya jadi malu untuk menjawabnya.

Kita Merasa Perlu Genggam Dunia

Kadang-kadang, atau mungkin pernah kita merasa bahawa untuk menjadi orang yang berjaya dalam hidup itu adalah untuk menjadi seseorang yang berada di puncak dunia, menjadi tumpuan orang ramai di sana sini. Yang namanya disebut-sebut manusia lain kerana mencapai sesuatu kejayaan yang besar. Atau boleh jadi juga, kita merasa apabila mempunyai harta dan kewangan itu tidak menjadi masalah buat kita; kita dapat hulur dengan banyak kepada ibu bapa, kita tiada masalah kewangan, ada rumah dan kereta. Dengan cara demikian, kita merasakan bahawa kita sudah mencapai kejayaan besar dalam hidup. Dan yang paling pentingnya di situ, kita merasakan bahawa sekiranya kita ada semua apa yang saya tuliskan di atas ini, maka kita akan menjadi orang yang bersyukur.

Betulkah? Anda nilai sendiri. *senyum

Berapa ramai dalam kalangan manusia yang memiliki lebih daripada keperluan dirinya, yang selesa dalam kehidupannya serta tidak bermasalah untuk hidup selesa, tetapi semakin jauh daripada sifat dan rasa syukur terhadap apa yang dimilikinya dalam hidup? Berapa banyak pula kisah yang sampai ke telinga kita, bahawa ketenangan hati tidak menjadi milik orang-orang yang secara zahirnya tidak mempunyai masalah kerana memiliki segalanya di dunia?

Adakah kisah itu dongeng semata-mata? Nope. Ianya kisah yang benar. Allah Azza Wa Jal berfirman,

“Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allâh, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.” (QS. An-Nahl : 53)

Manusia selalu tertipu dengan mainan fikiran sendiri. Walhal, semuanya adalah kerana terlupa bagaimana untuk merasa bersyukur sejak awal lagi. Apabila diberi nikmat, kononnya dia akan menjadi orang yang bersyukur. Dan apabila diberi ujian, seakan-akan nikmat yang pernah dia rasai selama ini tidak wujud pula. Baginya hidupnya sudah tiada sinar lagi, sudah berakhir semuanya. Walhal, semuanya perlu kembali kepada Allah. Sama ada nikmat dan ujian kesusahan yang dihadapi dalam hidup.

Hargai Setiap Perkara Kecil Dalam Hidup

Sama ada kita mahu percaya atau tidak; bertanyalah kepada hati yang paling dalam. Apakah kita benar-benar sudah menjadi orang yang bersyukur? Atau setidaknya, kita PERNAH menjadi orang yang mensyukuri nikmat yang Allah Azza Wa Jal berikan kepada kita?

Tidak perlu kita memiliki yang banyak dan kebendaan yang menggunung dalam hidup ini untuk menjadi orang yang bersyukur. Lihat perkara-perkara kecil yang ada dalam kehidupan kita, apakah kita mensyukuri setiap satu darinya? Apakah kita pernah perasan bahawa perkara-perkara kecil itu pernah kita pandang sepenuh hati? Kerana perkara-perkara kecil yang ada dalam kehidupan kita, yang kita perolehi dengan izin Allah itulah, sebenarnya adalah permulaan dan jawapan kepada persoalan, kenapa aku tidak bersyukur dan adakah aku pernah bersyukur?

Jika kita tidak pernah atau kurang menghargai dan mensyukuri hal-hal yang kecil dalam kehidupan kita, maka jaminan apa yang mahu kita berikan kepada Allah Azza Wa Jal bahawasanya kita akan menjadi dari dalam kalangan orang yang bersyukur apabila diberikan nikmat yang besar dalam kehidupan di dunia ini? Siapakah yang ingin kita tipu?

Adakalanya kita terlalu terpegun dengan kehidupan orang lain yang lebih daripada kita. Sedangkan kita kurang melihat dan memikirkan keadaan mereka yang kurang daripada kita. Jika kita selalu mengidamkan kehidupan orang yang lebih berbanding kehidupan kita, percayalah itu hanya akan membuatkan mata dan jiwa kita dikaburi dengan permainan angan-angan. Sedangkan, jarang sekali untuk kita mengingatkan diri sendiri begini,

”Eh, itu kehidupan dia. Dia punya bahagian yang Allah berikan. Ini, kehidupan aku. Aku patut syukuri. Alhamdulillah!”

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda (mafhumnya),

“Lihatlah kepada orang-orang yang lebih rendah daripada kalian dan janganlah kalian melihat kepada orang-orang yang berada di atas kalian karena yang demikian itu lebih patut bagi kalian supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allâh yang telah dianugerahkan kepada kalian.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Sifat Syukur Itu Sebahagian Peribadi

Tidak semua yang dimiliki oleh orang lain itu ada pada diri kita, kawan. Dan tidak semua yang ada dalam kehidupan kita, dimiliki oleh orang lain. Hidup ini sederhana. Syukuri apa adanya. Tidak perlu membandingkan kepunyaan kita dan orang lain. Kerana jika kita tahu bahawa rasa syukur itu sebenarnya sebahagian daripada peribadi kita kepada Allah, maka kita akan terima dengan terbuka apa adanya pada diri dan dalam kehidupan kita.

Yang kurang tidak bermakna tidak bahagia. Yang mempunyai lebih, tidak bermakna sentiasa bahagia, kan? *kenyit mata!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *