Selalu kita manusia ini, sebelum memulakan sesuatu, antara perkara lain yang kita fikirkan adalah KESEMPURNAAN. Perkataan yang kerap bermain di minda siang dan malam, “Apakah sempurna nanti jika aku berbuat sekian dan sekian?” Kesempurnaan yang kita bayangkan adalah dengan kita tidak membuat kesilapan, dengan kita tidak jatuh air muka atau jatuh standard dimata orang lain. Dan mungkin juga kerana kita tidak mahu berasa malu dengan ketidaksempurnaan yang bakal berlaku kerana hal itu akan membuatkan harga diri kita tercalar.
Adakah ketidaksempurnaan itu terlalu hina untuk dilakukan? Atau sebenarnya diri kita sendiri yang bermasalah untuk menghadapi dari secebis kehidupan kita sebagai seorang manusia yang hakikatnya jauh daripada kesempurnaan?
Bukankah ketidaksempurnaan kita sebagai seorang manusia itu seharusnya mendorong kita untuk menjadi yang terbaik dalam setiap usaha yang kita lakukan? Menjadikan kita seseorang yang memberikan yang terbaik, kerana kita tidak sempurna, dan menyerahkan hasilnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala setelah kita melakukan sehabis baik? Tanpa seharusnya ada sekelumit kesempurnaan yang memasuki pemikiran kita untuk memuaskan manusia.
Berusaha Tidak Kira Apa
Ada waktu kita bersemangat pada permulaan perjalanan atau pengembaraan. Tiba-tiba ditengah-tengah perjalanan, kita leka dan tidak peduli tujuan sebenar kepada perjalanan kita. Kadang tu, kita sedar sebenarnya kita sedang tidak menghargai detik peluang dan kelapangan yang kita ada. Tapi kita tetap membiarkan peluang berlalu dengan begitu saja. Sehinggalah apabila sudah hendak berakhir perjalanan kita, barulah kita ada kesedaran untuk berusaha atau pulun habis-habisan. Barulah terbit penyesalan dan menyalahkan diri sendiri.
Pernah berada dalam situasi tersebut?
Perlukah berusaha atau kita mengambil sikap, ‘Ah biar jelah! Dah terlambat!’? Situasi begini selalunya akan dijawab dengan dua versi.
PERTAMA, sudah terlambat untuk berusaha dan pulun habis-habisan. Sudah terlalu banyak masa dibuang sehingga bayang kejayaan tidak akan pernah dilihat. Itu pandangan negatif. Kita boleh jadi pernah memberikan pandangan tersebut atau berada dalam situasi tersebut, kan?
KEDUA, hendak diputarkan masa memang mustahil. Apa yang kau ada sekarang, adalah peluang yang berbaki untuk buat sebaik mungkin. Berjaya atau tidak, kalah atau menang, buatlah sehabis mungkin. Masa yang telah terbuang takkan dapat dipanggil semula. Jadi, apapun natijahnya nanti, lapangkan dada dan belajarlah dari pengalaman yang lepas. Kalau ada yang perlu disalahkan, maka diri sendirilah calon yang paling tepat disalahkan. Ambillah pengajaran kerana penyesalan tidak ada yang berada di hadapan. Semuanya akan terjadi kemudian.
Jadi jujur, mana satu yang lebih menenangkan jiwa? Yang pertama atau kedua?
Dan apa yang mahu saya ketengahkan dalam situasi tersebut tidak lari dari perkara utama artikel ini, iaitu kesempurnaan. Apapun situasi yang berlaku, berusahalah. Orang yang bijak dalam kehidupan, melakukan bersungguh-sungguh dari awal sehingga akhir bukanlah kerana mengharapkan kesempurnaan. Tetapi memberikan yang terbaik, berusaha sedaya mungkin, agar tiada penyesalan dikemudian hari. Walaupun hasil atau keputusannya tidak seperti yang diinginkan, dirinya tidak kecewa melebih-lebih dan tidak akan mematahkan semangatnya.
Kerana ada satu harga diri yang paling mahal pada peribadinya, iaitu “Aku sudah melakukan bersungguh-sungguh dan yang terbaik aku ada!” Adalah lebih baik berusaha daripada menjadi yang tidak berusaha langsung.
Kesempurnaan Itu Menakutkan
Memikirkan yang sempurna sahaja, tidak akan membawa kita ke mana. Kita tidak akan menjadi diri sendiri. Bahkan, boleh jadi kita membantutkan cita-cita kita kerana kita takut untuk melakukan suatu hal yang tidak sempurna dimata kita dan dimata orang lain. Kita menjadi seorang yang tiada keyakinan diri, dan bakat yang kita ada terkubur sepi. Memikirkan kesempurnaan kita untuk dinilai oleh manusia sekeliling hanya akan membunuh kita dalam diam.
Sebegitu sekalikah kesannya dalam hidup kita? Ya. Dan boleh lagi teruk lagi!
Allah Subhanahu Wa Ta’ala menciptakan kita sempurna dengan sebaik-baik kejadian. Tetapi tidak bererti bahawa kita ini adalah makhluk yang sempurna tanpa ada kelemahan peribadi atau diri. Kerana hakikatnya kita ini hanya hamba yang lemah yang pergantungan kita seharusnya hanya kepada Tuan Punya Dunia.
Memberikan Sebaik Mungkin
Melakukan apa sahaja bersungguh-sungguh, sehabis daya dan memberikan yang terbaik dari apa yang kita ada dalam semua aspek kehidupan, itu jauh lebih baik daripada mengharapkan kesempurnaan yang akhirnya membantutkan langkah kita. Kerana kita perlu sedar, yang kita ini adalah manusia yang banyak kelemahan dan kekurangan dimana semua itu saling melengkapi dengan kewujudan manusia lain di sekeliling kita. Kita manusia yang diciptakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan memerlukan manusia lain dalam kehidupan.
Mahu menjadi manusia sempurna yang tiada cacat cela peribadinya, itu adalah mustahil. Yang tidak mustahil adalah, kita berusaha sebaik mungkin.
Sama ada dalam pengajian sebagai seorang pelajar, pekerjaan sebagai seorang pekerja, pendidikan sebagai seorang tenaga pengajar dan kepatuhan sebagai seorang anak, pilihan yang kita ada semuanya adalah untuk memberikan usaha yang terbaik. Dan hidup mengajarkan kita bahawa, usaha yang terbaik ada penilai YANG TERBAIK, yang nanti hasilnya kita akan terima dengan jiwa lapang.
Adalah lebih baik lelah berusaha, daripada menyesal tidak berbuat apa. Lebih baik kelihatan bodoh sementara, daripada berlagak tahu akan segala.
Kerana akhirnya, cuma ada diri kita dan Allah Subhanahu Wa Ta’ala!